PRAKATA :)

Rex dan Tia 11.

Wednesday, December 28, 2011

Rex dan Tia 12 (edited version)


Kotak Dunhill di atas meja dipandang lama. Hari ni hampir seharian dia tidak ‘menjamah’ rokok walaupun sebatang. Selalunya kalau dia tengah serabut memang berkotak-kotak rokok boleh dihabiskan tapi hari ni dia langsung tak menyentuhnya. Magik? Haha. Mungkin.
           
Rex menyandarkan badannya ke dinding. Anak mata terus ke luar tingkap memandang langit gelap. Suara Tia bagaikan terngiang-ngiang di telinganya. Seperti ada musik latar tiap kali Tia bersuara dan Tia seolah-olah menyanyi tiap kali bersuara. Sedap dipendengaran, tak jemu menjadi halwa telinga. Kalau boleh mahu dirakam suara Tia buat peneman tidur.
            
Sudahlah, Rex! Setahun lepas gambar dia jadi peneman tidur. Sekarang? Kau nak suara dia pulak jadi peneman tidur? Parah sungguh kau. Rex mengetuk kepalanya berkali-kali dengan senyum nipis. Frame gambar di atas meja dicapai dengan tangan kiri. Lama gambar yang menghiasi frame gambar itu ditatap. Dia nampak gembira dalam gambar di samping kawan-kawannya yang berempat.
            
“Tia Ameena.” Dia menggumam rendah sebaris nama itu. Tiba-tiba meletus ketawa kecil dari celah bibir. Entah kenapa, terasa lucu! Tika itu juga telinganya terdengar sayup-sayup bunyi ketukan pada pintu biliknya. Dia melirik dengan ekor mata.
            
“Siapa?”
           
“Abah ni.”
           
Rex kaget. Abah? Kotak Dunhill di atas meja disambar laju lalu dicampak ke dalam laci meja belajarnya dan dikunci. Jantungnya terasa nak tercabut. Okay, chill chill. Air freshner di sisi katil diambil lalu disembur satu bilik. Wangi! Lambat-lambat dia angkat punggung dan mengatur langkah menghampiri pintu. Tombol pintu dipulas. Terjengul wajah Encik Fazli dimuka pintu yang sekadar berkain pelikat dengan t-shirt pagoda.
            
Buat apa?”
           
Rex pandang belakang kemudian beralih semula ke wajah abahnya. “Takde apa-apa. Baring-baring je.” Rex menjawab. Tangan kiri diseluk ke dalam poket seluar pendek yang dipakai. “Abah kenapa?” Wajah tenang Encik Fazli dipandang. Rex berganjak ke belakang untuk memberi ruang kepada Encik Fazli.
            
Encik Fazli melangkah masuk ke dalam bilik Rex lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi meja belajarnya. Rex mengambil tempat di atas katil. Jari-jarinya bertaut sesame sendiri, tunduk menekur cadar yang membaluti tilamnya.
            
“Abah ada benda nak tanya angah ni.”
           
“Tanya apa, bah?”
            
“Petang semalam Encik Faizul telefon abah. Dia cakap kamu calarkan kereta dia. Betul ke?”
            
Rex masih menunduk. Tak berani nak angkat muka memandang wajah abah. Dia tak tau macam mana riak wajah abah ketika mengeluarkan ayat yang baru didengarinya tadi. “Tu seminggu lepas.” Jawab Rex perlahan. Seakan-akan berbisik. Encik Fazli geleng kepala.
           
“Angah nak jadi apa?”
            
Diam.
            
“Abah hantar angah pergi sekolah bukan buat benda bukan-bukan.” Abah dah mula masuk mode membebel. Rex hanya mampu tadah telinga. Nak melawan dia tak berani. Abah tu nampak je lembut tapi sekali dia marah boleh terbalik rumah ni. “Abah nak anak-anak abah berjaya. Abah nak angah berjaya. Angah tu kena tengokkan along dengan adik-adik.” Lembut suara abah singgah di cuping telinga. Terus ke hati. Okay, abah tak ada tanda-tanda macam marah.
           
Rex angkat muka. “Maaf, bah.” Hanya itu yang mampu dia cakapkan ketika itu. Nak cakap lebih-lebih takut abah cakap dia melawan pula.
            
“Encik Faizul tu kawan abah. Abah tak nak dia cakap bukan-bukan pasal anak abah. Pasal angah.” Rex mengeluh. Si ‘anchor’ tu memang suka betul jadi reporter tak berbayar kat abah. Sibuk je.
            
“Angah bukan sengaja.” Ye ke tak sengaja Rex? Bukan kau memang sengaja nak buat sesi gores dan menang kat kereta dia ke? Sebab dia kantoikan hampir semua tempat kau ponteng kelas? Tak ke macam tu?
           
“Angah…abah tak halang angah nak buat apa. Angah buatlah selagi bukan benda yang tak elok.”
            
“Baik, abah.”
            
Diam. Masing-masing tak bersuara. Hanya kedengaran bunyi kipas berpusing ligat di atas kepala mereka. Encik Fazli menarik nafas dalam-dalam. “Umi cakap angah ada masalah.” Encik Fazli dah masuk sesi luahan hati dan perasaan. Rex panas punggung – tak selesa.
           
“Mana ada. Angah okay je.”
            
“Cerita dengan abah.”
           
Rex memintal-mintal hujung rambutnya. “Tak ada papelah abah. Umi tu yang risau terlebih. Angah okay je.” Rex cuba berdalih. Seboleh mungkin dia tak nak ada sesiapa dalam keluarganya tahu. Belum masanya lagi untuk dia memberitahu mereka. Dia perlukan masa yang sesuai. Masa di mana dia boleh beritahu dengan lancar tentang Tia.
           
“Perempuan mana yang dah buat anak abah macam ni?”
            
Eh? Rex angkat kening. “Perempuan apa ni, abah?”
            
Encik Fazli sengih. Kerusi dirapatkan ke katil. Kini Encik Fazli dan Rex hanya terpisah beberapa centimeter sahaja. “Anak abah tak pernah macam ni atau lebih tepat anak abah jadi macam ni setahun lepas. Lepas angah balik dari keluar dengan Azam.” Encik Fazli cuba menduga. Rex jadi tak keruan. Abah perasan? Selama setahun ni abah perasan?
            
“Mana ada, abah.”
            
“Tu…gambar tu. Gambar siapa?”
            
Refleks anak matanya jatuh pada frame gambar di atas katil yang dicampakkan dek terkejut dengan ketukan Encik Fazli di muka pintu tadi. Wajah ceria Tia menjadi tatapannya.
           
“Betullah tekaan abah ni?”
            
Eh? Eh?
            
“Taklah, abah.”          
           
Frame gambar itu dicapai lalu dipandang lama. Segaris senyuman melirik di bibir Encik Fazli. “Siapa dia?”
            
Rex menghela nafas. Tak boleh nak mengelak lagilah nampaknya ni? “Tia. Tia Ameena.” Rex membalas dalam keterpaksaan. Nak disorokkan pun macam dah tak ada guna. Abah macam boleh baca isi hatinya. Tembus. Terasa macam dirinya terlalu transparent sampaikan orang sekeliling boleh menebak apa yang terbuku di hatinya.
           
“Jumpa kat mana?” Frame gambar ditangan diberikan semula kepada Rex. Rex mengambil frame gambar dari tangan abah.
            
“Kat tepi tasik setahun lepas masa lepak dengan Azam. Dia baru pindah masuk sekolah seminggu lepas. Sekelas dengan Azam.” Rex menerangkan semuanya kepada abah. Dah tak larat nak mengelak tiap kali ada yang menyoal. Setahun lepas pun macam ni jugak. Sampaikan along, umi dengan abah buat conference kat ruang tamu bertanyakan perihal dirinya.
            
“Cantik.” Sepatah.
            
“Abah…jangan nak macam-macam. Angah takde apa-apa dengan dia.” Rex pandang Encik Fazli dengan muka pelik. Abah ni jangan nak fikir lain pulak.
            
“Abah tak cakap apa-apa pun. Abah cakap dia cantik je.”
           
“Mana ada cantik.”
           
“Cantik kat mata angah tu kira cantiklah.” Encik Fazli senyum. Pandangan Rex tertumpah pada frame gambar ditangannya. Cantik kat mata aku kira cantiklah Tia? Macam tu? Rex tergelak. Encik Fazli kerut dahi.
            
“Abah dah macam pakar bab hati dan perasaan.”
            
“Kalau tak pakar, tak adanya abah dapat tackle umi tu.”
            
“Amboi, abah.” Rex gelak lagi. Abah boleh jadi kawan bila dalam situasi tertentu macam waktu ni. “Err, abah. Angah nak tanya sikit.” Rex garu kepala.
           
“Pasal Tia la tu.” Abah menyakat. Rex sengih.
           
“Mustahil ke kita suka orang yang kita tak pernah kenal dan tetap suka dia sampai sekarang?” Serius. Wajah tenang abah dipandang penuh rasa ingin tahu. Dia mahu pendapat abah pulak. Jawapan dari umi dia dah dapat.
           
“Siapa kata mustahil? Abah suka umi sebelum abah kenal umi. Dalam nak kenal umi tu macam-macam cara abah guna. Abah kira macam stalker umi la.” Encik Fazli ketawa meriah. Kelakar bila teringatkan kembali zaman mudanya dulu. Bermacam-macam cara yang digunakan untuk mendekati isterinya dulu, Puan Haslah. Tak cukup dengan menjenguknya di sekolah, dia sanggup berkawan dengan kawan-kawan isterinya itu. Bertanya itu ini berkenaan isterinya itu. Lima tahun dia berhempas-pulas berusaha untuk memiliki dan nah, dia sudah pun berjaya. Apa lagi yang diharapkan?
           
Rex mendongak ke siling memandang kipas yang ligat berpusing. Tak mustahil eh? Jadi, dalam kes aku pun bukannya benda aneh la kalau aku suka dia selama setahun ni? “Macam mana kalau dalam kita suka dia sebenarnya ada orang lain?”
            
“Angah, perasaan tu satu kurniaan. Ada kenapa angah jumpa dia, ada sebab kenapa perasaan angah tu untuk dia. Setiap sesuatu ada sebabnya.”
            
“Contoh?”
            
“Mungkin Allah nak tunjukkan jalan kat angah.”      
           
“Jalan untuk apa?”
            
“Jalan untuk berubah ke arah yang lebih baik.” Terasa menusuk ke jiwa kata-kata abah. Sama macam umi. Jalan untuk berubah. Jalan untuk jadi lebih baik. Dia yang bakal merubah aku? Merubah seorang Farish Ikhwan yang sekarang menjadi Farish Ikhwan yang lain? Yang lebih baik, mungkin.
           
Thanks, abah.”
            
“Lagi senang bercakap dengan lelaki macam ni, kan?”
          
Rex angguk dengan senyuman. “Mungkin sebab angah anak abah?”
           
“Sebab angah anak abah.” Encik Fazli mengulang semula ayat itu. Rex gelak. Terasa segala perkara yang merunsingkan dirinya sejak seminggu lepas terbang melayang dibawa angin malam. Tenang. Segala permasalahan yang berbelit dan membelenggu diri bagaikan terungkai. Dia ada jawapan. Dia sudah menemui jalan yang perlu dipilih. Lebih baik mencuba dari berputih mata. Ya, lebih baik mencuba.

2 comments:

MaY_LiN said...

amboi abah..
kemain lg abah ni..
pandai lega kan hari rex

Anonymous said...

amboi abh sportingye.i like ;)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Followers