Ash duduk menopang dagu memandang tiga orang
kawannya di hadapan. Ana dengan Ain sedang giat membahan Faiz yang sedari tadi
tak melawan. Hanya menerima setiap kata-kata yang keluar dari mulut Ana dengan
rela dan senyuman. Ain hanya mampu ketawa dan menambah setiap kata-kata Ana.
Ash geleng kepala dengan telatah mereka. Tak menyudah dengan kerja menyakat
mereka.
Faiz menepuk bahu Ash. “Kau apasal, bro?” Wajah Ash yang tidak beriak menjadi tumpuan tiga pasang mata. Segala gelak tawa dan sakat-menyakat tadi terus mati. Ash menyebak rambutnya ke belakang. Kepalanya digelengkan dengan senyuman.
“Tak ada pape.”
“Rindu Tia eh?” Ain menyakat sambil mengenyit matanya. Nakal. Ash mencebik. Banyaklah punya rindu. Err, mungkin adalah jugak rasa rindu tu. Ash menghela nafas dalam. Pandangan ditalakan ke whiteboard di depan kelas. “Aku pun rindu Tia.” Ain bersuara lagi. Dua kepala mengangguk serentak – Faiz dan Ana.
“Korang tau kenapa Meen pindah?” Satu-persatu wajah kawannya dipandang. Dia mahukan jawapan. Jawapan kepada setiap persoalan yang bermain di kepala. Dia dapat rasakan seperti ada sesuatu yang tak kena. Macam ada satu rahsia tentang perpindahan Tia ke sekolah lain. Kata hatinya kuat mengiyakan apa yang dirasakan.
Tiga kepala serentak menggeleng. “Tia tak cakap apa-apa pun.” Ana tunduk menekur meja. Tia terlalu banyak rahsia yang disimpan. Dia jarang berkongsi apa-apa dengan mereka berempat. “Tia pergi macam tu je.” Ain menghela nafas lemah. Dia sedih sebenarnya. Tia pergi macam tu je lepas mereka bertemu buat kali terakhir petang tu. Petang sebelum Tia meninggalkan sekolah itu.
Faiz menepuk bahu Ash beberapa kali. “Kau tak tanya dia?” Wajah keruh Ash dipandang lama. Ash mengangguk lemah. “Dia tak jawab.” Mana mungkin dia tak bertanya? Tapi setiap kali dia bertanya setiap itulah dia bertemu dengan jalan buntu. Tiada jawapan. Tia seperti cuba mengelak. Tak pernah soalannya itu berjawab. Sekali pun tak pernah.
Masing-masing diam. Tiada kata lagi yang mampu dituturkan. Pening kepala mereka memikirkan soal Tia. Tiba-tiba kelas mereka riuh macam dalam pasar. Ash, Faiz, Ain dan Ana terus menalakan pandangan mereka ke muka pintu. Wajah ceria Alia mendaftarkan diri di ruang mata. Alia? Dah tamat ke tempoh suspended dia tu?
“Eh, kau okay?” Ilyani bertanya sambil memegang bahu Alia. Semua isi kelas sudah pun berkerumun mengelilingi Alia. Mesti sebab kes hari tu. Kes di mana Alia dituduh mencuri sejumlah wang dari duit tabung sekolah.
Alia senyum. “Okay je. Korang mesti rindu aku, kan?” Alia melirik manja dengan senyumannya yang memang memikat.
“Mestilah.” Sahut Zaim dari arah belakang kemudian disahut oleh lima orang kawannya di belakang. Alia tergelak kecil. Ash hanya memandang jengkel. Menyampah! Ain dan Ana dah mengalihkan pandangan ke tempat lain.
Faiz mengetuk dagunya. “Aku peliklah.”
“Kenapa?” Ana menjungkitkan keningnya.
“Bukan ke Alia dengan Tia sama-sama kena panggil dengan pengetua hari tu? Pasal kes curi duit tabung sekolah, kan?” Faiz masih lagi memandang Alia yang nampak ceria – siap ketawa mengekek dengan orang-orang yang mengerumuninya. Macam tak ada apa-apa yang berlaku padanya seminggu yang lepas.
Ash tersentak. Eh? “Kau cakap apa?” Tubuhnya tegak di atas kerusi menanti ayat yang bakal keluar dari mulut Faiz.
Faiz memusingkan tubuhnya menghadap Ash. “Pasal duit tabung sekolah tu. Korang tak ingat ke? Alia dituduh mencuri tapi tak silap aku Tia ikut sekali masa kena panggil tu. Muka Tia nampak risau gila macam dia tau something. Lepas je kena panggil tu, esoknya Tia tukar sekolah, si Alia pulak kena gantung sekolah. Tak ke macam pelik? Korang tak rasa macam ada kaitan ke? ” Anak mata Faiz memandang satu-persatu kawannnya.
Keadaan bising di depan kelas langsung tidak menganggu mereka. Masing-masing bagaikan baru tersedar. Kata-kata Faiz bagaikan kepingan terakhir untuk persoalan yang tidak terjawab. Alia! Ash bangun dari duduknya. Ana dan Ain kaget. Mereka tahu apa yang Ash fikirkan. Faiz memegang pergelangan Ash – menghalang perjalanan kawannya itu. Ash merentap lengannya daripada pegangan Faiz. Faiz geleng kepala. Here we go again. Serentak mereka bertiga bangun, mengekori langkah Ash. Nak dihalang macam tak ada harapan je gamaknya.
Ash sudah pun berdiri setentang dengan Alia. Alia angkat kening dengan senyuman sinisnya. Seperti biasa. Dia dan Ash memang tak mungkin akan sebulu. Dalam mimpi pun jangan harap! “So? Kenapa? Pasal Tia?” Alia memprovok. Sengaja membangkitkan kemarahan Ash. Ash mengepal penumbuk yang bila-bila sahaja bakal dilayangkan. Pedulilah orang nak kata dia dayus sebab pukul perempuan.
“Apa kau buat kat Meen?” Turun naik dada Ash. Anak matanya tajam memandang wajah Alia yang langsung tidak menggambarkan rasa takut.
“Aku buat apa? Hah! Kau buat lawak ke? Aku tak buat apa-apa pun kat dia.” Alia memeluk tubuhnya dengan muka bongkak. Tangan kananya melibas rambutnya yang panjang. Ash mengetap giginya. Terasa berapi melihatkan keangkuhan Alia ketika itu.
“Baik kau cakap kau buat apa kat dia!” Jerkah Ash dengan muka menyinga. Seisi kelas yang mulanya mengerumuni Alia sudah pun berganjak dari tempat masing-masing. Takut dengan Ash yang bagaikan dirasuk. Kelas jadi sunyi. Alia tergelak. Anak matanya menentang anak mata Ash. Berani.
“Kenapa kau tak tanya dia?”
“Kau buat apa kat dia?” Soalan yang sama diulang lagi. Selagi dia tak diberikan jawapan yang dikehendaki, dia akan terus bertanyakan soalan yang sama sampaikan Alia di hadapannya memuntahkan segala-galanya.
“Nothing much. Dia mengaku yang dia curi duit tabung tu. Aku tak suruh pun.” Alia ketawa kecil. Rambutnya yang diikat tocang kuda digerak-gerakkan ke kiri dan ke kanan. “Susah-susah je dia nak selamatkan aku. So funny! Tak payah susah-susah jugak aku nak merayu kat pengetua cakap bukan aku yang curi. Oh, mungkin memang aku yang curi.” Alia ketawa lagi. Kali ini makin galak ketawanya.
Faiz mencengkam kuat lengan Ash. Dia tahu apa yang Ash sedang fikirkan. Rasanya kalau dia tak halang, ada jugak yang biru-hijau dalam kelas ni. Ana dan Ain sudah pun berdiri di sebelah Alia yang bersandar di dinding. Ana menjeling tajam sisi wajah Alia.
“Kau memang perempuan tak guna, Alia!”
“Hah! Aku tak guna? So kau nak cakap Tia tu bergunalah?” Alia berang. Apa yang bagus sangat dengan Tia tu? Apa kurangnya diri dia?
“Alia…betul ke kau buat macam tu?” Fiza bertanya dari tempatnya. Alia senyum jengkel.
“Haah. Memang aku yang curi duit tu. Tia tu yang bodoh nak selamatkan aku. Dia tu bodoh! Korang kan sayang sangat dengan Tia yang bodoh tu.” Alia mula berang. Dia sakit hati. Dia tak suka Tia! Sebab Tia semua orang seolah-olah nak mengelak darinya. Sebab Tia jugak dia seperti tak dipedulikan di sekolah tu. Semua sebab Tia.
“Alia, kau…”
“Aku apa? Aku perempuan jahat? Memang aku jahat! Tia tu yang baik. Dia je yang baik! Apa yang bagus sangat kat dia sampaikan korang semua nak dekat dengan dia? Apa kurangnya aku?” Alia menjerit-jerit bagaikan terkena histeria. Ash merentap lengannya yang dicengkam Faiz. Wajah Alia dipandang lama.
“Kau nak tau apa bezanya kau dengan dia? Dia tak busuk hati macam kau.” Ash menarik nafas dalam-dalam. Terjawab juga persoalan yang bermain di fikirannya selama ini. Soalan yang tidak pernah berjawab oleh Tia. “Mungkin, kau takkan sedar sampai bila-bila apa yang Meen buat untuk kau sebab hati kau terlalu buta untuk melihat. Meen anggap kau kawan dia tapi…” Ayat terakhirnya tidak dihabiskan. Rasanya tiada guna dia memberitahu apa yang dirasai Tia kepada Alia yang sememangnya tak akan pernah mengerti.
Ash terus mengatur langkah kakinya keluar kelas. “Kau nak pergi mana?” Alia menyoal. Ash gelak. Sinis.
“Jumpa pengetua. Faiz. Ana. Ain.”
“Okay.”
“Kitorang ikut.”
“Untuk Tia.”
Mereka berempat sama-sama berjalan meninggalkan kelas menuju ke bilik pengetua. Ada benda yang perlu mereka betulkan. Alia menghentakkan kakinya geram. Ash langsung tak mempedulikannya. Ain dan Ana diam tidak bersuara. Faiz menepuk belakang badan Ash.
“Kau nak cakap apa dengan pengetua?”
“Cakap apa yang perlu.”
“Kau tak rasa better jumpa Puan Fariza dulu?” Faiz memberikan cadangan. Lagipun, nak jumpa dengan pengetua bukannya boleh pakai redah je. Ada jugak procedure. Takkan nak rempuh je bilik pengetua tu macam samseng jalanan?
Ash melirik Faiz di sebelahnya. “Kau rasa Puan Fariza boleh tolong kita?”
“Better try first. Okay?”
“Okay, kita jumpa Puan Fariza dulu.” Cadangan Faiz diterima. Faiz menarik nafas lega. Ana dan Ain angkat thumbs up.
REX menghelas nafas panjang. Whiteboard di hadapan dah nampak samar-samar di mata. Matanya yang tadinya membulat besar sudah semakin mengecil dan mengecil. Mengantuk. Itu sahaja yang berada di fikirannya. Sudahlah semalam dia berjaga sampai pukul 3 pagi, gara-gara memikirkan kata-kata abah yang terasa menusuk terus ke jantung dan hati. Penat mindanya malam itu. Sekali lagi nafas panjang dihela.
Sarah disebelahnya angkat kening. Lantas hujung pensel mekanikalnya dicucuk ke siku Rex. Perlahan. Rex berpaling ke kanannnya. Sarah dengan dahi berlapis sedang memandang tepat ke arahnya. “Kenapa?” Rex bertanya dengan muka pelik. Ada apa-apa yang aku buat ke sampai Sarah buat muka macam tu?
Sarah kembali memalingkan mukanya ke buku yang terbuka di hadapan. “Soalan tu patutnya aku yang tanya. Kau kenapa?” Pensel mekanikal ditangan diletakkan di antara jari telunjuk dan jari hantu. Tak beberapa lama kemudian, pensel mekanikal itu berpusing seperti bilah helikopter. Rex garu kepala.
“Tak ada apa-apa.”
“Kalau tak ada apa-apa kau tak adanya mengelamun dalam kelas.” Sarah masih tak mahu mengalah. Bukannya dia baru kenal Rex semalam. Dah nak hampir dua tahun pun. Dan sudah hampir dua tahun juga mereka duduk bersebelahan. Setiap apa yang Rex buat, kelakuan Rex dia sudah hafal.
Rex diam. Pensel mekanikal di atas buku dicapai dan tangannya mula menconteng di atas helaian kosong dibukunya. Figura manusia berambut panjang terlakar cantik di atas helaian kosong itu. Sedang tersenyum dengan pandangan yang tidak dapat ditafsirkan. Sarah menarik senyuman segaris. Rare!
“Lucky girl, huh?”
Eh? “Apa lucky girl?” Rex terasa seperti sedang bermain teka-teki dengan Sarah. Sarah ni kalau bercakap tak pernah nak guna ayat yang direct. Suka sangat main pusing-pusing ayat sampaikan kadang-kadang dia jadi tak faham. Susah bila bercakap dengan orang yang minat sastera.
Sarah senyum sinis. Dia menoleh ke arah tingkap terus ke kelas di blok sebelah sana. “Budak perempuan yang duduk sebelah Sam tu. She’s the one, huh?” Sarah ketawa kecil. Muka Rex dah terasa berbahang. Panas! Duduknya pun terasa canggung. Dah macam cacing kepanasan. Sarah mengetuk permukaan meja dengan hujung penselnya. “Kau tak payah mengelak. Hari-hari kau jenguk Sam kat kelas. Sam tak ada pun kau jenguk dia jugak.” Nada memerli. Rex menggaru-garu pelipis kanannya. Dia kehilangan kosa kata.
Sarah menconteng buku teks yang terbuka dengan karakter kartun kegemarannya. “Susah nak percaya Farish Ikhwan suka someone.”
“Aku pun lelaki, Sarah.” Rex membalas cuba menyembunyikan rasa gugup dan malu yang bertandang.
“Yup. Lelaki yang pelik.” Sarah ketawa lagi. Lebih perlahan dari tadi. Mungkin tak nak menarik perhatian cikgu yang sedang mengajar di hadapan. Bukannya mereka tak perasan yang sedari tadi bebola mata Encik Hakim asyik tertala pada mereka berdua. “So, how long?” Soalan tiba-tiba dari Sarah.
“How long apa?”
“That girl, kau pendam perasaan.”
Rex dah rasa nak membenamkan mukanya di dalam tanah. Bukan takat benam muka terasa nak dibenamkan sekali badannya itu. Dia malu! Sarah seperti dapat membaca setiap apa yang ada di dalam fikirannya. Terasa dirinya transparent di hadapan Sarah ketika itu. Seperti Sarah dapat menembusi setiap sistem saraf dan fikirannya.
“Kau ni menakutkanlah, Sarah.”
“Kalau kau nak, aku boleh jadi lagi menakutkan.” Sarah sengaja hendak menakut-nakutkan Rex. Rex telan air liur. Meremang bulu romanya mendengarkan kata-kata yang baru keluar dari mulut Sarah. Sarah ni, jangan nak menakutkan aku. Rex dah semakin tak selesa. Dia mahu beredar dari situ! Makin lama dia di situ makin tak keruan jadinya.
Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi ketukan di muka pintu kelas. Refleks anak matanya dilarikan ke muka pintu. Susuk tubuh Fadil terlakar di ruang mata. Eh? Suara Encik Hakim memberi izin masuk pula ditangkap dek deria pendengarannya. Fadil melangkah masuk ke dalam kelas. Matanya difokuskan pada Rex dengan pandangan yang Rex mengerti. Dia tahu apa maksud pandangan itu. Masalah!
Fadil bercakap sesuatu dengan Encik Hakim. Dia hanya nampak Encik Hakim menganggukkan kepalanya. “Farish, keluar. Fadil nak jumpa kamu.” Tiada nada pada suara Encik Hakim. Beku. Rex tarik nafas sedalam mungkin sebelum dia angkat punggung.
“Jangan ingat kau boleh lari.” Sarah senyum sinis. Rex hanya mampu telan air liur dan terus melangkah ke luar kelasnya selaju mungkin. Bagaikan terngiang-ngiang kata-kata Sarah di telinganya. Creepy.
Fadil menunggunya di koridor depan kelas. Tubuhnya membelakangkan Rex. Dua kali bahu Fadil ditepuk Rex. Dia berdiri bersebelahan Fadil memandang ke tengah padang sekolah mereka. Fadil menyebak rambutnya ke belakang. Muka Fadil tampak kusut.
“Kenapa?”
“Ikut aku.” Tanpa ayat selanjutnya Fadil sudah pun mengatur langkah meninggalkan kelas Rex. Rex menjungkitkan keningnya. Dah kenapa? Rex menjengah ke dalam kelas. “Cikgu, saya pergi toilet kejap.” Tanpa menunggu kata-kata balasan dari Encik Hakim, Rex berlari anak mengejar langkah Fadil yang sudah jauh di hadapan.
“KORANG kenapa bawak aku pergi sini?” Rex menyandarkan tubuhnya ke dinding tandas lelaki itu. Wajah Fadil dan Joe dipandang bersilih ganti. Rokok yang tersimpan di dalam poket seluarnya dikeluarkan lalu disisip ke mulut. Lighter dinyalakan. Fadil dan Joe masih diam ditempat mereka. Kepulan asap dihembus keluar memenuhi tandas lelaki itu. Jangan ingat kat sekolah dia tak berani nak seludup masuk rokok.
“Kita ada masalah.” Fadil memandang Joe. Serba-salah. Rex yang tidak memahami situasi di hadapannya hanya mampu menunggu ayat seterusnya dari mulut Fadil atau mungkin Joe. Kakinya dihentak-hentak ke lantai melagukan irama yang dia sendiri tidak tahu.
“Zarul buat hal lagi.”
Rex mendengus. Asap rokok disedut lagi memenuhi ruang paru-parunya. Mendengarkan nama Zarul terus menggelegak darahnya. Entah apa lagi yang dia tak puas hati tak ada siapa pun tahu. Nak kata dia kacau budak-budak Zarul, tak ada! Dah lama dia meninggalkan kerja jahatnya dulu – bergaduh tak tentu pasal. Semua sebab dia dah mula berfikir yang bergaduh tak membawa apa-apa pun. Sakit je yang dapat. Nak buat apa?
“Dia buat apa pulak kali ni?” Puntung rokok ditangan dibelek-belek. Kemudian, puntung rokok itu dicampak masuk ke dalam lubang jamban dan diflush. Jangan bagi ada sebarang kesan. Nak buat jahat kena pandai simpan. Jangan sampai kantoi dengan orang lagi-lagi cikgu.
“Dua orang budak sekolah kita kena belasah.” Joe pula yang bersuara. Melaporkan segala kegiatan Zarul kepada Rex. Rex menyeluk kedua-dua belah tangannya ke dalam poket seluar. Masih bersandar pada dinding.
“Bila?”
“Malam semalam.”
“Yang hari tu?”
“Yang hari tu kau tak buat apa-apa pun.” Joe memandang wajah Rex sambil menyelukkan kedua-dua tangannya ke dalam poket seluar.
Rex geleng kepala. Serabut kepala dibuatnya. Telefon bimbit dikeluarkan lalu jarinya laju menaip nombor. Tak berapa lama kemudian, telefon bimbit itu dilekapkan ke telinga. Fadil dan Joe hanya memerhati.
“Hello, Eddy. Aku ada benda nak mintak tolong kau.”
Suara dihujung talian gelak. “Kau kalau call tak mintak tolong memang tak sah. Ha, apasal pulak?”
Rex sengih. “Kau settlekan Zarul. Aku malas nak deal dengan dia dah.” Tangannya memulas kepala paip. Mencurah-curah air keluar dari mulut paip itu. Tangan kanan menadah air yang keluar lalu membasahkan mukanya.
“Eh, kenapa aku?”
“Tolong kawanlah, bro. Aku dah nak SPM. Malas nak buat hal dah. Kau nak tengok ke masa depan kawan kau ni gelap-gelita?” Kepala paip dipulas melawan arah jam. Tubuhnya kembali disandarkan ke dinding.
“Macamlah aku tak ada kerja lain.”
“Tolonglah, bro. Kali ni je.” Rex merayu. Bukannya dia tak boleh nak settle sendiri dengan Zarul tu tapi dia dah tak lalu nak bertentang dua mata dengan Zarul. Cukuplah dua kali mereka bertemu. Dia dah tak nak lagi! Zarul tu kepala batu. Bukannya nak dengar cakap orang lain. Semuanya mesti dibuat mengikut kehendaknya.
“Fine. Kali ni je.” Eddy mengalah. Malas nak berlawan mulut dengan Rex. Bukannya dia tak tau keras kepala Rex tu. Putih katanya, putihlah. Tak mungkin jadi hitam mahupun kelabu. Impossible. Sama je degilnya dengan si Zarul tu.
Rex tersenyum puas. Bagus! Selesai satu masalah. “Thanks, bro.” Talian terus dimatikan selepas Eddy membalas terima kasihnya. Skrin telefon bimbit yang sudah gelap dipandang sekilas sebelum telefon bimbit itu diselukkan semula ke dalam poket seluar sekolahnya. Tangan kiri menyebak rambutnya ke belakang. “Settle!” Ceria nada suara Rex ketika itu.
Fadil sudah pun mencangkung di sebelah Joe yang masih berdiri sambil memeluk tubuhnya. “Eddy boleh tolong ke?” Fadil menyoal dengan nada was-was. Bukan dia tak yakin dengan Eddy tapi boleh ke dia nak selesaikan semua masalah dengan Zarul? Kalau dengan Rex pun tak jalan, takkanlah dengan Eddy senang sangat?
“Biar Eddy handle. Dia pro.”
“Kau jangan nak balas apa Zarul buat pulak.” Joe berwajah risau memandang Rex di hadapannya. Dia tak suka dengan ayat Rex. Biar Eddy handle? Dia pro? Apa maksud Rex? Jangan nak buat benda merapu pulak.
“Aku takdelah kejam macam tu. Just a small talk.” Rex menarik nafas dalam-dalam. Joe pandang Fadil. Fadil hanya mampu menjungkitkan bahu, tak tahu nak cakap apa lagi.
“Rex! Rex!”
Serentak tiga kepala berpaling ke muka pintu tandas lelaki itu. Wajah Sam yang sudah tercungap-cungap mendaftarkan diri di ruang mata. Sam melangkah masuk. Habis basah baju sekolah yang dipakainya dek peluh. Dah ada gaya macam baru lepas kena kejar anjing pun ada si Sam ni.
“Kau kenapa?” Rex pandang Sam atas bawah.
“Aku dengar cerita pasal Zarul tu.” Sam tarik nafas. Mengah. Badannya dibongkokkan. Hanya kepalanya yang ditegakkan memandang tiga orang kawannya. “Kau nak buat apa?” Kali ni air liur pulak ditelan. Payah. Kesat. Penat berlari dari kelasnya ke tandas lelaki itu. Peluh yang merenik di dahi diseka dengan belakang tangan kanan. Rex sengih.
“Dah settle pun.”
“Ha? Macam mana?” Separuh menjerit Sam bertanya. Aneh! Takkan sesenang tu je boleh settle?
“Rex mintak tolong Eddy.” Fadil tolong menjawabkan bagi pihak Rex. Rex hanya menganggukkan kepalanya, mengiyakan kata-kata Fadil. Sam menghela nafas panjang. Badan yang tadinya membongkok sudah pun kembali tegak. Pintu tandas lelaki ditutup rapat dan dikunci. Bahaya kalau ada orang masuk dan terdengar perbualan mereka. Dahlah tadi diorang bertiga ni tak tutup langsung pintu ni. Macam mana kalau ada cikgu yang lalu-lalang terdengar?
“Eddy? Dia nak tolong ke?”
“Tak payah fikirlah. Kau nak gaduh dengan dia ke? Kita ni dah nak SPM. Susah.” Rex masih tenang. Tiada langsung riak risau mahupun marah. Pemetik api yang tadinya disimpan di dalam poket dikeluarkan semula dan tangannya mula bermain-main dengan pemetik api itu.
“Kau lembut hati sangatlah, Rex. Kau lanyak jelah diorang tu.”
Rex gelak. Sinis. “Ni bukan soal lembut hati, bro. Kita fikir pasal future. Kau nak rosakkan masa depan kau sebab Zarul tu? Bergaduh sana sini? Kita dapat apa? Lebam, patah riuk tu semua. Kau tak ingat ke tahun lepas? Kita semua kena gantung sekolah. Kau sampai berjahit kat siku tu, si Fadil tu lebam sana sini. Nasib baik Joe takde apa-apa. Korang nak ke macam tu lagi?” Rex mendongakkan kepalanya memandang siling. Fadil dan Joe terdiam memikir. Ada betulnya kata-kata Rex tu. Masa depan lagi penting daripada Zarul tu.
Sam melangkah menghampiri Rex. Tubuhnya turut sama disandarkan bersebelahan kawan sejak kecilnya itu. “Aku tau tu tapi sampai bila nak biarkan Zarul tu?”
“Biarkan jelah dia tu. Dah, aku nak balik kelas.”
“Tak payahlah. Ponteng jom!” Fadil berteriak ceria.
Joe meluku kepala Fadil. “Tau nak ponteng je kau.” Fadil menyengih.
Rex pandang Sam disebelahnya. Dia senyum meleret. “Boleh jugak. Dah lama tak ponteng ni.” Sam mengeluh. Dari senyuman Rex dia sudah boleh mengagak jawapan yang bakal didengari. Nak kena ikutlah ni, kan?
“Kat mana? Setahu aku semua port kita cikgu dah tau.”
“Belakang makmal Kimia. Yang tu belum kantoi lagi.”
“Ayuh!” Serentak ketiga-tiga mereka ketawa dengan lagak Fadil yang seperti budak baru berusia lima tahun.
2 comments:
best.smbg cpt2 ckit
wawawawa..
baik nye abang rex ni..
ayuhhhh..
hihihi
Post a Comment